• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

Ahli Parlimen Bukan Golongan 'Untouchables' - Johari

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Ahli Parlimen digesa menyedari bahawa mereka bukan golongan 'Untouchables' sehingga besar kepala dan tidak boleh ditegur serta menerima kritikan rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sebaliknya mereka yang memegang amanah sebagai ahli parlimen perlu menyedari bahawa mereka datangnya daripada rakyat yang memilih.

"Kerana Parlimen itu sendiri adalah untuk rakyat dan hendak tahu apa yang berlaku di Parlimen kerana itu orang yang dipanggil wakil rakyat itu merupakan hak rakyat, bukan milik dewa.

"Mereka rakyat biasa yang boleh ditegur jadi jangan ada sifat kerana aku wakil rakyat maka tidak boleh ditegur," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Program Jelajah Yang Dipertua Dewan Rakyat Ke Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan Timbalannya, Khazan Che Mat.

Dalam pada itu, Johari berkata lawatan ke DUN Terengganu itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan hubungan di antara Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

"Terengganu merupakan negeri kesembilan dan selepas ini kami akan ke Pahang dan Selangor sebelum semua speaker-speaker berkumpul di Sarawak pada 11 hingga 14 September tahun ini.

"Tujuan jelajah ini adalah untuk berkenalan mesra dengan semua sepaker dan setiausaha dewan dalam masa yang sama banyak benda yang kita telah bincang dan perhalusi melalui soal jawab yang kita perlu diperkemaskan.

"Insya-Allah semua ini akan kita jadikan panduan dan ada perkara dijadikan resolusi untuk dibawa ke persidangan speaker-speaker pada September nanti," katanya.