lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Dungun Gesa Kerajaan Serius Bina LPT3, Bukan Beri Alasan
Ahli Parlimen Dungun Gesa Kerajaan Serius Bina LPT3, Bukan Beri Alasan
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
3 jam yang lepas
109

DUNGUN, 11 Julai – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menggesa kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen lebih serius untuk merealisasikan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), selepas mendakwa jawapan terbaru di Dewan Rakyat tidak membawa sebarang perkembangan baharu.

Dalam kenyataan media semalam, Wan Hassan berkata jawapan Menteri Kerja Raya pada 8 Julai lalu tidak banyak berbeza dengan jawapan yang direkodkan dalam Hansard Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2025.

Menurutnya, kerajaan masih menggunakan alasan kekangan kewangan untuk mencadangkan supaya projek berkenaan dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).

“Jawapan yang diberikan masih mengulangi alasan lama tanpa sebarang penyelesaian konkrit atau garis masa yang jelas bagi pelaksanaan LPT3,” katanya.

Wan Hassan berkata LPT3 sepatutnya dilihat sebagai pelaburan strategik negara yang mampu menjadi pemangkin pembangunan wilayah Pantai Timur.

Beliau membandingkan kepentingan projek itu dengan pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), yang menurutnya berjaya merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan merapatkan jurang pembangunan di Pantai Barat sejak lebih tiga dekad lalu.

“Jika PLUS mampu mengubah landskap ekonomi Pantai Barat, mengapa rakyat Pantai Timur tidak diberikan komitmen pembangunan yang setara?

“LPT3 mempunyai potensi besar untuk merancakkan ekonomi, mempercepatkan pergerakan logistik dan membuka kawasan pembangunan baharu,” katanya.

Wan Hassan turut mempertikaikan kenyataan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan yang menyifatkan LPT3 sebagai “alternatif ketiga” selepas projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan Lingkaran Tengah Utama (LTU).

Menurutnya, pandangan itu gagal memahami fungsi sebenar LPT3 dalam rangkaian pengangkutan Pantai Timur.

“LPT3 bukan sekadar laluan menuju ke Lembah Klang.

“Ia merupakan rangkaian pengangkutan utama yang menghubungkan bandar-bandar di Pantai Timur, mempercepatkan pergerakan logistik, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta membuka lebih banyak peluang pembangunan dan pelaburan di sepanjang laluannya,” katanya.

Beliau berkata projek ECRL, KBKK dan LTU tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menangguhkan LPT3 kerana setiap projek mempunyai fungsi dan kepentingan tersendiri.

Dalam pada itu, Wan Hassan turut melahirkan kekecewaan apabila kerajaan Persekutuan masih belum menyelesaikan tuntutan bayaran balik kos pembinaan LPT2 berjumlah RM1.43 bilion.

Menurutnya, jumlah berkenaan telah didahulukan oleh kerajaan negeri Terengganu walaupun pembinaan lebuh raya merupakan tanggungjawab kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan persoalan apabila kerajaan negeri terpaksa menanggung kos projek Persekutuan, namun bayaran balik masih belum diselesaikan.

“Lebih mengecewakan, apabila projek baharu seperti LPT3 pula dicadangkan melalui kaedah penswastaan yang berpotensi menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kadar tol pada masa hadapan,” katanya.

Wan Hassan menegaskan rakyat Pantai Timur tidak meminta layanan istimewa, sebaliknya hanya menuntut keadilan pembangunan sebagaimana yang telah dinikmati oleh wilayah lain.

“LPT3 bukan sekadar projek pembinaan jalan raya. Ia adalah simbol komitmen kerajaan terhadap pembangunan yang seimbang dan saksama.

“Selagi alasan yang sama terus diulang tanpa penyelesaian konkrit, rakyat berhak mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan Pantai Timur terus diberi keutamaan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan