lightning-solid
Berita :
Ahli Parlimen Dungun Rai Atlet Berbasikal Sukan SEA 2025
Ahli Parlimen Dungun Rai Atlet Berbasikal Sukan SEA 2025
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
2 jam yang lepas
73

DUNGUN, 19 Disember – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli meraikan kepulangan atlet basikal MTB dan Downhill yang mewakili Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025 dalam satu majlis penuh bermakna yang diadakan di Ausemist Coffee Cafe, Tanah Lot, semalam.

Dalam majlis tersebut, Wan Hassan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Zulfikri Zulkifli atas kejayaan cemerlang meraih pingat perak dalam acara Cross Country Lelaki Berbasikal Bukit. 

Kejayaan itu disifatkan sebagai hasil usaha gigih, disiplin tinggi serta komitmen berterusan atlet berkenaan, sekali gus menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada Dungun malah seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada empat lagi atlet berbasikal yang berjaya menggalas tanggungjawab mewakili negara di pentas Sukan SEA iaitu Nur Eddyna Nasuhar Zainal Abidin, Ahmad Syazrin Awang Ilah, Saniy Syuaib Mohd Safiee dan Amer Akbar Anuar.

Menurut beliau, walaupun tidak semua atlet berjaya membawa pulang pingat, pengorbanan, keberanian serta perjalanan panjang hampir sedekad dalam mengejar impian untuk beraksi di temasya Sukan SEA merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihormati dan dibanggakan.

“Komitmen, disiplin dan ketabahan yang ditunjukkan oleh para atlet ini menjadi sumber inspirasi serta contoh teladan kepada generasi atlet akan datang,” katanya.

IMG-20251219-WA0030.jpg 441.97 KB
Dalam masa yang sama, Wan Hassan turut merakamkan jutaan terima kasih kepada jurulatih, Mohd Arif Syukri Mohd Safiee dan Mohd Firdaus Rosman selaku mekanik serta pihak pengurusan Persatuan Lumba Basikal Dungun yang telah banyak memberikan bimbingan, sokongan dan pendidikan sehingga para atlet berjaya melangkah ke peringkat Sukan SEA.

Beliau berharap kejayaan serta pengalaman berharga yang diraih ini akan menjadi pemangkin semangat kepada para atlet untuk terus melangkah lebih jauh, mengharumkan nama negara dan seterusnya mengangkat martabat sukan berbasikal tanah air ke peringkat yang lebih tinggi.


Tag :

Artikel Berkaitan