KUALA TERENGGANU, 12 Ogos- Calon Perikatan Nasional (PN)-PAS, Dato’ Ahmad Amzad Hashim bagi Parlimen Kuala Terengganu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung di sini, pada pagi ini.
Beliau yang tampil kemas berpakaian kemeja tiba di pusat pengundian itu pada pukul 8.15 pagi dengan ditemani isterinya, Datin Dr. Nur Diana Ahmad Takri kelihatan ceria untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
Ahmad Amzad yang juga penyandang kerusi itu selesai membuang undi pada pukul 8.27 pagi di Saluran 2 Pusat Pembuangan Undi di sekolah itu dan turut sempat beramah mesra dengan pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka di lokasi yang sama.
Ketika ditemui pemberita, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian pagi ini dan berharap pengundi keluar lebih awal susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Alhamdulillah, Allah S.W.T kurniakan hari ini cuaca yang baik, dan saya tengok yang keluar mengundi pun dalam keadaan yang segar, maksudnya tidak dalam keadaan yang stress ke apa ke walaupun di Kuala Terengganu ini berbeza dengan tempat-tempat yang lain dimana kita ada dua kotak undi iaitu satu Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya berharap semua dapat keluar mengundi lebih awal supaya proses mengundi dapat diselesaikan dengan segera. Terima kasih kepada semua petugas termasuk pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan dan lain-lain,” ujarnya.
Katanya, beliau mengharapkan pengundi dapat membuat pilihan yang bijak untuk memilih calon wakil rakyat mereka.
“Saya rasa masyarakat telah pun melalui satu tempoh kematangan dalam menilai maklumat-maklumat yang disebarkan melalui media sosial dan sebagainya.
“Lebih-lebih lagi maklumat sekarang di hujung jari, jadi selagi mana kita membawa sesuatu yang betul, tidak menyeleweng fakta saya rasa tidak ada masalah.
“Kalau ada kelemahan ke apa ke pada saya adalah lebih baik untuk kita menunjukkan kematangan dengan sedia bersifat terbuka untuk terima teguran,” ujarnya.
Terdahulu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu terpaksa diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 27 Jun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zubir Embong.
Ahmad Amzad menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu kali ini, Ahmad Amzad berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), iaitu Azan Ismail.