KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) terus mengekalkan kecemerlangan dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila mencatatkan kemenangan buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan TNB Thunderbolts (TNB-T) dengan keputusan 6-1 semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk itu menyaksikan THT memulakan perlawanan dengan cemerlang.

THT berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui penyudahan pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari.

Tidak menunggu lama, THT menambah jaringan kedua pada minit ke-19 menerusi Muhammad Akhimullah Anuar Esook yang menyempurnakan hantaran cantik daripada Muhammad Faris Hamzan, meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 2-0.

TNB-T tidak menyerah begitu sahaja dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-36, Muhammad Fahmi Khalid menyempurnakan satu pukulan penalti sudut untuk menjadikan skor 2-1.

Bersambung babak berikutnya, perlawanan menjadi lebih sengit, THT kembali melebarkan jurang jaringan pada minit ke-41, kapten pasukan, Mohd Fitri Saari, menghantar bola dari garisan tengah padang yang kemudiannya disambut baik oleh Syarman Mat Tee untuk menambah gol ketiga bagi THT, 3-1.

Tidak lama selepas itu, pada minit ke-43, Faizal Saari sekali lagi menjaringkan gol menerusi satu lagi pukulan sudut penalti, memperkukuhkan kedudukan THT dengan 4-1.

Walaupun THT gagal menambah jaringan menerusi beberapa peluang penalti sudut, mereka tetap terus menguasai permainan. Pada minit ke-52, Muhammad Amirul Hanif Mamat menjaringkan gol kelima selepas satu serangan pantas, membawa THT mendahului 5-1.

Menjelang minit ke-57, THT mengesahkan kemenangan bergaya dengan jaringan kedua dari Muhammad Akhimullah, sekali gus menutup perlawanan dengan kemenangan 6-1.

Dengan kemenangan ini, THT terus berada dalam landasan kemenangan dan dijadualkan untuk bertemu Armed Forces HT pada 15 Januari, jam 4 petang, di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk.