Genjatan Senjata : Warga Palestin Akan Mula Kecapi Kebebasan

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Warga Palestin diharap akan mula mengecapi kebebasan dan kemerdekaan serta Masjid Al-Aqsa turut bebas dari kepungan regim zionis Israel. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalid Abdul Hadi berkata, ia susulan pengumuman Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani dalam sidang medianya sebentar tadi berhubung kejayaan rundingan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

“Hamas serta kumpulan pejuang Palestin dan regim zionis Israel telah bersetuju dengan syarat dan ketetapan gencatan senjata. 

“Ia sekaligus menamatkan perang dan kekejaman regim zionis Israel selama 15 bulan di semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 46,707 warga Palestin dengan lebih 110,265 yang lain dilaporkan cedera,” ujarnya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya, hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, semenanjung Gaza ketika ini hampir 70 peratus musnah, tiada kemudahan asas dan dalam keadaan amat memerlukan khususnya makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas.

“Gencatan senjata tersebut akan bermula Ahad ini yang dikategorikan sebagai fasa pertama selama 43 hari dan diikuti fasa seterusnya sehingga bertukar menjadi 'permanent ceasefire' jika kesemua syarat dan ketetapan dipatuhi. 

“Ketika ini ratusan lori yang membawa bantuan kemanusiaan mula memasuki semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah,” ujarnya.

Katanya, berita gembira tersebut disambut meriah di seluruh pelusuk semenanjung Gaza termasuk di tebing barat dengan warga Palestin keluar ke jalanan untuk menyambut hari yang bersejarah ini. 

“Ia turut disambut gembira di Yaman, Lubnan, Iran, Iraq, Turkiye dan Insya-Allah akan dikuti oleh negara dunia Islam yang lain.

“Sepanjang konflik ini berlangsung, zionis Israel gagal mencapai objektif yang ditetapkan khususnya untuk menghancurkan Hamas. 

“Sokongan rakyat Palestin kepada Hamas tidak berbelah bagi. Warga Palestin tidak mengalah dan tidak mampu ditewaskan,” ujarnya.

Muhammad Khalil berkata, Allah SWT tidak menghampakan doa-doa hambanya yang dizalimi dan dianiaya apatah lagi oleh zionis yahudi laknatullah.