KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Lebih RM2.4 bilion diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak di 34 pantai sepanjang 244 kilometer (km) bagi mengelakkan hakisan terutama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL)
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata kos membina benteng pemecah ombak biasanya antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap kilometer, bergantung pada spesifikasi.
Menurutnya, ia bergantung pada beberapa faktor antaranya panjang pantai terlibat dan kos ditentukan oleh jumlah panjang pantai yang memerlukan perlindungan.
“Jenis benteng yang digunakan akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza bergantung kepada reka bentuk, sama ada benteng konkrit, tetrapod, atau gabion.
“Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan apabila lokasi dengan hakisan yang lebih teruk mungkin memerlukan struktur yang lebih kukuh dan kos yang lebih tinggi.
“Selain itu juga, kos bahan dan buruh tempatan serta harga bahan binaan seperti batu, simen, dan kos tenaga kerja juga memainkan peranan.
"Segala kos ini kita akan berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka,” ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Tambah Hanafiah, jumlah anggaran peruntukan yang diperlukan adalah secara kasar, oleh itu kajian mendalam oleh pakar diperlukan untuk mendapatkan jumlah sebenar berdasarkan keadaan setempat.
“Anggaran ini adalah berdasarkan panjang pantai setiap daerah dan kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang.
“Kajian lebih terperinci diperlukan untuk mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi,” jelasnya.
Justeru itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai tersebut.