Langkah Hibrid Kawal Hakisan Pantai Terengganu

KUALA TERENGGANU, 15 Januari - Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun bagi meminimakan kesan hakisan pantai di negeri ini perlu dilakukan.

Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata, cadangan tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Dalam pertemuan dengan Menteri Besar sebentar tadi, kita telah utarakan cadangan ini.

“Maksudnya, ia antara solusi alternatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan selain projek pembinaan pemecah ombak yang sedang dilaksanakan ketika ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kajian dilakukan pasukan penyelidik UMT, langkah hibrid dilihat berpontesi mengawal isu hakisan pantai. 

“Tukun sebenarnya boleh mengurangkan impak gelombang dan memberi perlindungan daripada ombak, apabila kita letakkan tukun di antara pemecah ombak, ia boleh mengurangkan hakisan.

“Justeru, kita cadangkan tukun-tukun tiruan turut diletakkan secara tersusun di pesisir pantai yang berisiko di negeri ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan telah menyediakan langkah penyelesaian terbaik dengan membina benteng pemecah ombak namun ia gagal mencegah hakisan kerana ada antaranya masih belum siap dengan sempurna.

“Kalau ikutkan perancangan, pembinaan benteng pemecah ombak siap sepenuhnya pada 2026, jadi bila tidak siap sepenuhnya memang akan ada kesan bila berlaku gelombang besar.

“Justeru,dalam tempoh tersebut kita kena bersedia dengan alternatif tertentu kalau ada ribut atau gelombang besar yang datang,” ujarnya.