Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
KUALA TERENGGANU, 15 Januari – Kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu telah mengenal pasti beberapa kaedah bagi melakukan tindakan segera berhubung isu hakisan pantai yang berlaku di negeri ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan itu dicapai selepas mengadakan perbincangan bersama JPS hari ini dan beliau sendiri meninjau keadaan hakisan di Batu Rakit pada Sabtu lalu.
Menurutnya, terdapat tiga strategi utama meliputi jangka panjang, pendek dan semasa.
“Ada beberapa langkah kita buat termasuk yang kita rancangkan sedang berjalan antaranya meletakkan batu dan sebagainya.
“Kita juga akan memulakan Pelan Komunikasi dengan masyarakat supaya mereka faham tindakan yang sedang diambil dan apa jua perkara yang perlu tindakan atau pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah itu.
“Untuk jangka panjangnya, JPS sudah ada 16 pemecah ombak atau breakwater yang difahamkan telah siap dalam 20 peratus tetapi terpaksa berhadapan dengan monsun yang tidak ‘menunggu’ projek itu siap atau tidak dan kita terpaksa hadap jika ia sampai walaupun projek sedang berjalan.
“Selain itu, di seluruh Terengganu (pantai) ini juga ada pelbagai cara digunakan untuk hakisan selain dalam bentuk ‘breakwater’, benteng hakisan atau groin dan sebagainya mengikut kesesuaian tempat dan nasihat pakar-pakar daripada JPS dan konsultan kita,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata beliau turut berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) bagi menyelesaikan isu hakisan tersebut.
“Selain projek yang sedang berjalan, saya juga berhubung dengan TPM yang juga Menteri PETRA dan difahamkan beliau telah berhubung dengan Pengarah JPS Terengganu tentang masalah ini.
“Saya juga berhubung dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya sama-sama dapat membantu kita dan respon dari mereka sangat baik dan kita cuba senaraikan apa perkara yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini sebagai tindakan awal,” ujarnya.