Ahmad Amzad Turun Padang Dengar Keluhan
Oleh: Syed Kamal
KUALA TERENGGANU- Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim giat turun padang mendekati penduduk Kuala Terengganu dalam usaha mengenal pasti permasalahan mereka.
Terbaru, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Syah Muhamad, wakil Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta Persatuan Peniaga Pasar Besar Kedai Payang telah bertemu peniaga pasar itu, semalam.
Masalah kebocoran atap setiap kali hujan lebat antara yang diutarakan para peniaga kepada wakil rakyat itu.
Menurut Ahmad Amzad, beliau akan mengadakan perbincangan bersama pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalah berkenaan yang sudah lama berlaku.
“Diharapkan para peniaga dapat bersabar sementara proses perbincangan dan membaik pulih dijalankan.
“Selepas membuat perbincangan, proses membaik pulih akan segera dijalankan. Saya berharap agar peniaga semua dapat bersabar buat masa sekarang," ujarnya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.