KUALA TERENGGANU, 20 Julai - Hari Raya Aidiladha yang disambut di Malaysia hari ini menterjemahkan pengorbanan tinggi dalam kalangan rakyat kerana ia sekali lagi disambut dalam suasana sederhana disebabkan pandemik COVID-19.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mohkhtar berkata, 2021 merupakan tahun kedua umat Islam tidak dapat melakukan sambutan seperti kebiasaan.
Kataya, ia sememangnya menyedihkan namun sebagai umat Islam, ujian COVID-19 itu membuatkan kita lebih menghayati erti sebuah pengorbanan dan redha dengan setiap ujian yang datang.
“Kini, sudah menjangkau lebih setahun negara Malaysia dan dunia bertarung menghadapi pandemik ini. Pastinya pelbagai ujian dan pengorbanan terpaksa dilalui dan dirasai oleh setiap daripada kita, rakyat biasa mahupun pemimpin negara.
“Bagaimanapun, kerajaan sedang berusaha untuk mengeluarkan kita semua daripada belenggu ini. Pelbagai inisiatif dirangka bagi membantu memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat tercinta.
“Terbaharu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bukan hanya merangkumi pakej rangsangan ekonomi, tetapi merupakan satu pelan holistik yang sentiasa ditambah baik berdasarkan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam Facebook beliau semalam.
Menurutnya, dalam keadaan sukar itu Kerajaan Negeri tidak lepas tangan dalam membantu meringankan beban rakyat, program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang diumumkan pada 2 Jun lalu adalah nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi masyarakat dan kini masih berjalan di setiap kawasan peringkat DUN.
“Saat ini juga dapat dilihat kerjasama dan keprihatinan pelbagai pihak sama ada swasta, NGO mahu pun individu untuk membantu mereka yang memerlukan. Inilah kekuatan rakyat Malaysia yang amat saya kagumi. Saya yakin, jika kita terus bersatu hati, insya-Allah kita mampu bangkit menghadapi setiap cabaran..
“Terima kasih kepada semua pihak terutamanya barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus menghapuskan wabak COVID-19. Insya-Allah, dengan pengorbanan yang kita lakukan pada hari ini akan menemukan kita dengan suatu kejayaan yang diimpikan.
“Akhir kata, mewakili Kerajaan Negeri, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu. Semoga ibrah daripada sambutan hari raya tahun ini mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT,” katanya.