lightning-solid
Berita :
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
Air Mata Syukur Bapa OKU, Kerajaan Negeri Taja Anak Kahwin
Zahid Mustafar
14 Sep 25
1352

HULU TERENGGANU, 14 September - Bagi seorang bapa warga OKU yang bergantung hidup kepada jualan aiskrim dan elaun kebajikan, impian untuk meraikan perkahwinan anak tanpa bebanan kewangan akhirnya menjadi kenyataan.

Sufian Ismail tidak mampu menahan sebak apabila anaknya terpilih sebagai antara pasangan yang diraikan dalam Program Walimatul Urus Perdana 2025, anjuran Kerajaan Negeri Terengganu bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Bagi Sufian, bantuan tersebut bukan sekadar meringankan beban ekonomi, sebaliknya memberi nilai tambah kepada maruah sebuah keluarga yang kerap diuji cabaran hidup dan bencana alam.

Menceritakan perjalanan hidupnya, bekas pembantu komunikasi di Media Prima Berhad itu mengambil keputusan pulang ke Kuala Berang untuk berdikari secara sederhana dengan menjual aiskrim.

"Setiap tahun, keluarga kami di Kampung Lebak diuji dengan bencana banjir sehinggakan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan berisiko. Saya sendiri pernah menyaksikan segala harta benda tenggelam dalam sekelip mata.

"Sebagai pemegang kad OKU berdaftar dengan JKM, saya bergantung kepada elaun RM450 sebulan disamping hasil jualan aiskrim. Sebab itu, apabila anak diberi peluang menyertai program ini, rasa bersyukur itu sukar diluahkan," katanya.

Bagi golongan B40, kekangan kewangan sering menjadi penghalang utama untuk melangsungkan majlis perkahwinan secara sempurna. Inisiatif seperti ini nyata memberi ruang kepada mereka untuk memulakan kehidupan baharu tanpa dibebani hutang pasca perkahwinan.

Menantunya, Mohd Hanafi Mohd Izzuddin yang berasal dari Kuala Lumpur, turut menzahirkan penghargaan atas keterbukaan dan keprihatinan kerajaan negeri meraikan anak muda seperti mereka.

"Saya hanyalah seorang anak muda biasa dari ibu kota, namun diberi penghormatan diraikan bersama pasangan dalam majlis sebegini. Keprihatinan penganjur amat bermakna buat kami berdua," luahnya.

Program Walimatul Urus Perdana 2025 melibatkan peruntukan RM1.2 juta daripada Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu 192 pasangan B40 melangsungkan perkahwinan secara serentak di seluruh negeri, termasuk 20 pasangan di daerah Hulu Terengganu.

Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, menyusul upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.

Inisiatif ini membuktikan bahawa dasar kebajikan yang berkesan adalah dasar yang bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah mengembalikan sinar harapan dan martabat kepada golongan yang memerlukan.

 


Artikel Berkaitan