KEMAMAN, 16 Disember – Air mata syukur mengiringi detik penyerahan kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada seorang warga emas, Samsudin Ngah, 59 di Kampung Bukit Anak Dara.
Sebelum ini, Samsudin berdepan masalah kesihatan dan terpaksa menyewa di kediaman lama dalam keadaan serba kekurangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata bahawa Jawatankuasa Pemilihan telah memilih Encik Samsudin atau Pok Din berdasarkan kelayakan serta mengambil kira keadaan kesihatan beliau.
“Faktor kesihatan menjadi antara pertimbangan utama bagi memastikan penerima bantuan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, khususnya di usia senja.
“InsyaAllah, mereka sekeluarga dijangka akan berpindah masuk ke rumah PPRT tersebut pada 1 Januari 2026 nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT bertempat di Kampung Bukit Anak Dara Kijal baru-baru ini.
Sementara itu, Samsudin melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.
"Saya tidak sangka dapat memiliki rumah sendiri pada usia begini. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga.
“Saya berdoa semoga Allah membalas jasa baik semua pihak. Rumah baharu ini sangat memberi kelegaan dan keselesaan kepada kami keluarga,” ujarnya.

