DUNGUN, 29 Januari - "Air naik begitu cepat sehingga menyebabkan saya dan isteri terus menaiki kereta untuk ke tempat lebih tinggi dan tidak sempat selamatkan apa-apa," ujar Mohamad Zubir.
Mangsa banjir, Wan Mohamad Zubir Wan Suhaidi, 31, berkata ketika kejadian, tanpa menyedari baru 10 minit berlalu, air banjir telah mencapai paras dua kaki dalam kediamannya.
"Kesemua barangan dalam rumah kami telah mengalami kerosakan termasuk barangan elektrik, sofa dan lain-lain akibat banjir itu," jelasnya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika sedang membersihkan rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun di sini semalam.
Dia yang tinggal bersama isterinya berkata banjir besar yang melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun pada kali ini merupakan paling teruk berbanding tahun 2014.
Tambah Zubir, banjir luar biasa itu menyebabkan paras air melepasi bumbung rumahnya sehingga tiada kekuatan untuk melakukan apa-apa.
“Kami sekeluarga terpaksa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat sehingga kejadian banjir beransur pulih,” ujarnya.
Sementara itu, lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor.
Sukarelawan terdiri daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), KHIDMAT Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM).