• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

Air Pasang Besar, 41 Kampung Berdepan Risiko Banjir di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober – Sebanyak 41 buah kampung yang berisiko dilanda banjir akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku malam esok (17 Oktober) hingga 25 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Terengganu kesemua kampung tersebut berisiko dinaiki air kerana terletak di 12 muara sungai utama di Terengganu.

Justeru itu katanya, beliau menasihatkan penduduk  sekitar perlu lebih berhati-hati dan bersedia untuk berpindah sekiranya perlu.

"Berdasarkan rekod JPS Terengganu, terdapat 10 kampung berisiko banjir yang terletak di dua muara iaitu muara Sungai Terengganu dan muara Sungai Ibai.

"Kampung tersebut ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Pak Tuyu, Tanjung Gelam, Kampung Ulu Takir, Seberang Takir, Kampung Kubang Ikan, Taman Purnama dan Kampung Kuala Ibai," katanya kepada pemberita.

Tambah Hanafiah, di daerah Marang terdapat dua muara iaitu Sungai Marang dan Sungai Merchang melibatkan lima kampung iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Merchang dan Kampung Pulau Rusa Baru.

Sementara di daerah Dungun pula, terdapat tiga muara sungai utama iaitu muara Sungai Dungun, muara Sungai Paka dan muara Sungai Sura yang melibatkan 13 buah kampung.

“Kampung yang berisiko itu ialah Kuala Paka, Tebing Tembah, Durian Mentangau, Pinang Merah, Kampung Sura, Teluk Bidara, Seberang Pintasan, Che Lijah, Alor Makbah, Tanjung Jara, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang,”ujarnya.

Manakala di daerah Besut pula, beliau berkata kampung yang terletak di muara sungai dan berisiko banjir ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Nail, Teluk Budu dan Kampung Pantai.

"Di Setiu pula, terdapat dua muara iaitu Sungai Setiu dan Sungai Merang melibatkan enam kampung iaitu Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Batu, Pengkalan Gelap, Kampung Fikri, Kampung Limau Lipis dan Kuala Setiu,”ujarnya.

Sementara itu bagi daerah  Kemaman pula terdapat, dua muara iaitu Sungai Kemaman dan Sungai Kemasik melibatkan empat kampung iaitu Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Kampung Bakau Tinggi dan Kampung Baru Kemasik.