Air Terjun Kenyir Keruh Bukan Kerana Pembalakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Aktiviti pembalakan bukan menjadi punca keindahan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir keruh dan berkeladak.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata situasi itu berlaku akibat hujan lebat yang kini tidak menentu yang menyebabkan aliran deras dari bukit turun memasuki tasik dan sungai-sungai di kawasan Kenyir
"Situasi yang berlaku ketika ini tidak ada kena mengena dengan pembalakan...kalau kita masih ingat apa yang berlaku baru-baru ini (banjir buruk pada akhir Februari lalu) ada kelihatan seolah-olah kayu-kayu balak yang jatuh (dalam tasik) akibat banjir.
"Ada pihak kata ini disebabkan oleh pembalakan sedangkan penelitian Jabatan Perhutanan serta jabatan-jabatan berkaitan yang lain dan saya sendiri pergi tinjau ke kawasan berkenaan pada waktu itu, ia bukan disebabkan pembalakan.
"Namun, runtuhan bukit yang kuat ini mengakibatkan aliran air membawa sekali pokok-pokok kayu (di sepanjang laluannya), seolah olah disebabkan satu pembalakan tetapi ia tidak sebenarnya," katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Tunggakan Elaun Imam dan Bilal Masjid Mukim Negeri Terengganu di Damai Lounge, Wisma Darul Iman.
Dalam masa yang sama katanya, Terengganu mempunyai syarat-syaratnya yang ketat agar tiada sebarang pencemaran akibat dari pembalakan.
"Saya sentiasa berkomunikasi dengan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri sekiranya ada isu-isu baharu (yang terlepas pandang) dan buat masa ini tak ada lah," katanya.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau telah membuat tinjauan dengan menaiki helikopter ke kawasan Kenyir bagi melihat sendiri runtuhan bukit yang berlaku.
“Saya dah lihat sendiri dan mendapati air keruh dan berkeladak di air terjun Tasik Kenyir itu tak ada kena mengena dengan pembalakan,” ujarnya.