Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 13 Januari - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran mengajak masyarakat melaksanakan aktiviti yang mendekatkan diri dalam mencari keredhaan Allah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata, setiap MPKK diharap menyedari bahawa antara peranan yang perlu mereka pikul adalah untuk mengangkat Islam berada di tempat yang sepatutnya.
"Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam, jadi jangan kita anggap tugas sebagai MPKK hanya tugas biasa-biasa sahaja.
"Tetapi dengan tugas kita sebagai MPKK, kitalah yang sepatutnya mengangkat Islam supaya berada di tempatnya dan setiap kerja buat kita sentiasa mengharap redha Allah," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap di Majlis Gotong-Royong anjuran MPKK Burung Baru, kelmarin.
Program gotong-royong berkenaan adalah rutin bulanan MPKK Burung Baru dan kali ini melibatkan sekitar jalan Burung Baru dan Paya Kemudi.
Katanya, beliau mengharapkan semua MPKK dapat menunjukkan semangat bagi memperjuangkan Islam dan titik peluh mereka menjadi saksi bila bertemu Allah nanti.
“Saya harap agar MPKK dokumenkan aktiviti sebagai panduan kepada generasi akan datang dalam memperjuangkan Islam, seterusnya mengekalkan Kerajaan Terengganu sekarang," ujarnya.