Ajar Ibu Ucap Syahadah Sebelum Tidur

Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 21 – Menjadi rutin bagi Ahmad Hakim Mohamad, 25, menjenguk, mengajak bersembang dan mengajar ibunya mengucapkan kalimah syahadah hampir setiap masa.

Pada masa sama, dia sanggup berjaga sehingga lewat malam demi menjaga ibunya yang sedang terlantar akibat sakit strok otak lebih tiga tahun lalu.

Ahmad Hakim berkata, dia akan berjaga malam sehingga 2 pagi bagi memastikan lampin ibu sentiasa kering, selain menyediakan minuman susu khas.

“Saya buat semua itu kerana sedar, ia adalah tanggungjawab sebagai anak, saya tidak mahu berjauhan dengan ibu yang memerlukan saya pada setiap masa.

“Kerana ibu, saya turut memilih untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual burger dan minuman di kawasan kampung,” katanya.

Ahmad Hakim berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika Program Ziarah Bersama isteri Ahli Parlimen Marang (YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang), Y.Bhg To’ Puan Seri Hajjah Zainab Awang, kelmarin.