Ajaran Mohib Khouli Difatwakan Sesat

KUALA TERENGGANU, 16 November - Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam negeri melalui Jawatankuasa Fatwa, atas perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah mengeluarkan fatwa  bahawa ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem adalah sesat.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu kali Ke-15 yang bersidang pada 30 Ogos lalu telah memutuskan bahawa ajaran itu berlaku percanggahan dengan tonggak akidah Islam, al- Asya'irah dan al-Matrudiyyah.

"Ciri-ciri penyelewengan termasuklah mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu, oleh sebab itu jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diri-Nya, Dia Maha Bekuasa menciptanya. Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam.

"Kerana memahami bahawa Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak dan kerana Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT mengkehendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya.

"Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu Sabri berkata, Mohib Khouli juga telah mendakwa pentakwilan ayat-ayat sifat Allah SWT yang diterima pakai oleh aliran ulama al-asya'irah dan al-Maturidiyyah seperti 'istiwa', 'wajh', 'yad' dan seumpanya adalah sesat sama kedudukan seperti ajaran muktazilah dan jahmiyyah yang sesat.

Di samping itu juga katanya, ajaran Mohib Khouli yang turut mendakwa golongan al-asyairah adalah sama dengan golongan yahudi, jahmiyyah, muktazailah dan penyembah lembu adalah sangat menyimpang.

"(Juga) mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah telah mati dalam keadaan kufur dan tidak sah solat di belakang imam yang memegang mazhab al-Asyairah, dengan perlu mengulangi solatnya dengan solat Zohor," katanya.

Justeru itu ujar beliau, berdasarkan fatwa yang telah ditetapkan mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran berkenaan adalah haram serta didapati merupakan fahaman ekstremis yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat termasuk melalui penulisan atau penerbitan bahan bercetak," ujarnya.

Mereka yang selama ini telah berpegang dan mempercayai ajaran sesat tersebut, menurut Mohd Sabri perlu segera bertaubat termasuk mereka yang menyebarkan atau mengamalkan dan pihak berautoriti berhak mengadakan sesi pemulihan untuk mereka.

"Oleh yang demikian, setiap orang hendaklah menghidandari diri daripada terlibat dengan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem," katanya.