Aktiviti ATV Di Bukit Lubuk Batu Bantu Ekonomi Penduduk Setempat

MARANG, 26 Januari - Aktiviti ATV antara tarikan terbaharu di Bukit Lubuk Batu yang berupaya membantu ekonomi penduduk setempat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Batu, Mohd Zaid Ibrahim berkata, laluan yang disediakan termasuk terowong lumpur, jalan berbatu serta air terjun yang pastinya menguji kemahiran pemandu ATV disamping menjanjikan keindahan alam sekitar.

"Aktiviti ATV ini tercetus apabila ramai pengunjung yang datang untuk mendaki bukit tersebut, dan kini mereka boleh menikmati pengalaman baru yang lebih mencabar dan menyeronokkan. 

"Kami mahu memberi satu pengalaman yang berbeza kepada pengunjung dan pada masa yang sama, menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Lubuk Batu. 

"Ini juga membantu ekonomi penduduk setempat, seperti penyediaan perkhidmatan dan produk tempatan," katanya kepada pemberita. 

Mengulas lanjut katanya, sambutan terhadap produk baharu tersebut sangat menggalakkan dan pihaknya bercadang memperluaskan aktiviti tersebut pada masa akan datang.

"Dengan sambutan yang positif, aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam, tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi kampung dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Pengunjung yang ingin mencuba aktiviti ATV ini boleh hadir ke pejabat urusan yang terletak di kaki bukit Lubuk Batu. 

"Pejabat dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang dan untuk pendaftaran serta maklumat lanjut boleh hubungi talian 019-5101681," ujarnya.
 
 

 

 


Tag: