Aktiviti Gotong Royong Bersih Kubur Beri Keinsafan
MARANG, 6 Mac - Aktiviti membersih kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kebersihan itu separuh daripada iman. Apatah lagi kubur ialah tempat manusia akan kembali selepas dijemput Ilahi pada suatu hari nanti.
"Kebersihan ini adalah amalan yang harus dilakukan oleh setiap masyarakat bagi menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling. Malah, dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menarik golongan muda untuk turut serta dalam gotong-royong ini.
"Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat, pada masa sama terbit keterujaan dan keinsafan sepanjang membersihkan kubur ini," katanya.
Tambah beliau lagi, tugas itu menerbitkan kesedaran tinggi bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti Gotong-royong Membersih Kubur Tanah Perkuburan Besar, Kampung Atas Tol, Bukit Payong, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Atas Tol, Ishak Che Lebar, menggesa agar masyarakat meneruskan program sebegini pada masa akan datang.
"Hari ini kita berganding bahu bersama masyarakat bagi menganjurkan program ini di samping dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain walau di mana berada.
"Teruslah melakukan amal kebaikan sekalipun bukan waris mahupun saudara sendiri tanpa mengira tempat terutama di tanah perkuburan," ujarnya.