Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
DUNGUN, 2 Februari - Tidak sebagaimana remaja lain, Nur Aleya Maisara Abdul Rahman, 20, ternyata berada di 'dunia' berbeza apabila dia sanggup mengorbankan masa bersama rakan sebayanya bagi membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
Dia seakan sudah sebati bergelumang dengan keadaan banjir dan lumpur kerana gadis berasal dari Manir, Terengganu kelihatan tidak kekok membersihkan rumah mangsa banjir yang dipenuhi selut di Kampung Pasir Raja.
Katanya, walaupun baru menyertai Pasukan Sukarelawan Terengganu Volunteer ( T-Volt), sebelum ini dia sudah menyertai banyak aktiviti sukarelawan melalui persatuan lain.
Ujarnya, pengalaman yang ada menyebabkan dirinya sudah terbiasa dengan keadaan pasca banjir dan apa yang penting adalah membantu mangsa.
"Selama ini saya selalu merasa kesian melihat bebanan dan penderitaan yang dialami oleh mangsa banjir ini, seringkali saya ikuti di media sosial dan dari situ terdetik di hati saya membantu mereka yang dilanda ujian ini.
"Mendapat tahu mengenai T-Volt ini terus saya menyertainya, jadi peluang dapat menyertai misi membersihkan rumah mangsa banjir ini tidak saya sia-siakan dan saya gunakan peluang ini sehabis baik.
"Tidak merasa penat sebaliknya saya rasa sangat seronok," ujarnya yang merupakan anak sulung daripada lima adik beradik ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menyertai misi banjir di sini, semalam.
Katanya, ayahnya, Abdul Rahman Mat Yunus, 40, serta ibunya Nor Rohaiza Hamzah, memberi galakan dan sokongan untuknya menyertai aktiviti terbabit.
"Kedua-dua mereka merestui niat saya untuk melakukan kerja-kerja kebajikan ini," ujarnya.
Sementara itu, bagi Nooraini Abdul Razak,52, yang merupakan kakitangan Yayasan Pembangunan Ummah berkata telah lebih 10 tahun dia terlibat dengan misi-misi memabntu mangsa banjir.
"Apabila ditubuhkan T-Volt ini saya terus menyertainya kerana sangat suka dan rasa puas hati dapat membantu serta menolong masyarakat yang terkena musibah seumpama ini.
"Saya selalu ajak anak-anak muda untuk turut terlibat kerana dengan penglibatan seumpama ini akan memberikan keinsafan dan kesedaran kepada kita, memang sangat baik untuk disertai oleh golongan anak-anak muda timba pengalaman untuk terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan seumpama ini," katanya.
Nora Omar, 47, pula berpandangan melibatkan diri dengan aktiviti membantu mangsa banjir ini memberikan satu suntikan motivasi apabila melihat perasaan mereka yang ditimpa ujian.
"Hari ini dapat dilihat bagaimana perasaan tuan rumah apabila pasukan sukarelawan ini datang membersihkan rumah mereka, bayangkan tidak mudah untuk mereka lalui kerana banjir di sini pada tahun ini lebih besar berbanding 2014 sehinggakan lumpur memenuhi ruangan rumah.
"Dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapatlah memberikan kelegaan kepada mereka," katanya.