Amalan Zikir Jadi Pelaris

Zulbaharim Ibrahim di hadapan premis perniagaannya, Ummielieza Enterprise, ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 18 Oktober - Amalan banyak berzikir bukan sahaja menjadikan hati tunduk dan patuh kepada kekuasaan Allah SWT, bahkan boleh menambahkan berkat kepada sesuatu perniagaan.

Pengurus Ummielieza Enterprise, Zulbaharim Ibrahim berkata, antara resepi kejayaan perniagaannya adalah dengan banyak mengamalkan berzikir serta memperbanyak ibadah sunat.

“Amalan berzikir ini merupakan nilai tambah kepada perniagaan, dan itulah sebaik-baik amalan. Pergantungan kita kena kuat dengan Allah, bukannya dengan mengharapkan tangkal azimat dan tangkal yang jauh bercanggah dengan ajaran Islam, tegasnya ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di premis perniagaannya Kampung Dendang, Dungun (16 Oktober).

Menurut beliau, kejayaan yang dikecapinya bukan datang begitu sahaja tetapi melalui pelbagai liku dan adat resam perniagaan.

“Kita (orang Islam) diajar dalam agama, sebagai seorang Muslim jangan pernah berputus asa. Saya pernah merasai jatuh dan bangun dalam perniagaan sejak berkecimpung dalam tempoh 5 tahun yang lalu,” jelasnya.

Katanya, di antara perkara yang mesti dilakukan oleh seorang peniaga muslim adalah dengan menjaga kualiti produk.


“Di samping itu, kita perlu pandai layan pelanggan dan utamakan solat. Maka mudah untuk mendapat rezeki Allah.

“Kita perlu mencontohi peniaga-peniaga Muslim sebagaimana Abdul Rahman Auf, dan menjadikan Rasulullah SAW sendiri sebagai idola," ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Baha, mendakwa orang yang kuat mendorongnya menceburi bidang perniagaan ini di kalangan ahli keluarga serta rakan-rakan.

“Perniagaan adalah merupakan (pekerjaan) sunnah dan mendatangkan pahala. Pintu utama rezeki adalah perniagaan, jadi kepada sesiapa yang ingin memulakan perniagaan, jangan pernah ada perasaan takut dan peniaga yang berjaya mesti ada pegangan akidah yang kuat.

“Jangan pernah melakukan perbuatan syirik dan khurafat sebagai pelaris memajukan perniagaan,” tegasnya.

Sebaliknya, kata beliau yakinilah bahawa banyak berzikir menjadikan hati tenang dan memudahkan urusan dalam kehidupan seharian insya-Allah.


Tag: