Berita :
Tangani Kos Sara Hidup, ADUN Sura Syor Tiga Langkah Segera
Tangani Kos Sara Hidup, ADUN Sura Syor Tiga Langkah Segera
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
46

KUALA TERENGGANU, 21 April – Kerajaan negeri disyor melaksanakan tiga langkah segera bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, keadaan semasa menuntut tindakan pantas dan bersasar, bukan hanya tertumpu kepada perancangan jangka panjang, memandangkan rakyat kini semakin terkesan dengan peningkatan kos harian.

Menurut beliau, cadangan pertama ialah melaksanakan pakej bantuan kos sara hidup yang benar-benar bersasar kepada golongan paling terjejas seperti nelayan, petani, pesawah dan peniaga kecil.

Katanya, bantuan itu perlu disalurkan secara cekap dan tepat supaya dapat meringankan beban rakyat yang berdepan kenaikan harga barang serta kos operasi harian.

“Cadangan kedua ialah penubuhan dan menggerakkan Jawatankuasa Tindakan Krisis Ekonomi Negeri.

“Ketiga, salurkan manfaat hasil dan pelaburan negeri kepada program keselamatan makanan serta peluang pekerjaan rakyat tempatan,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan bukan sahaja dapat membantu rakyat dalam jangka pendek, malah mampu meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Menurutnya, ketiga-tiga cadangan itu wajar diberi perhatian dan dilaksanakan segera bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan