Berita :
Keberangkatan Pemangku Raja Perkukuh Martabat DUN Terengganu
Keberangkatan Pemangku Raja Perkukuh Martabat DUN Terengganu
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
49

KUALA TERENGGANU, 21 April – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) dalam kapasiti sebagai Pemangku Raja bukan sahaja mencerminkan kedaulatan pemerintahan negeri, bahkan menzahirkan peranan penting Institusi Diraja sebagai teras kestabilan serta kelangsungan pentadbiran negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, kehadiran KDYMM bagi merasmikan persidangan kali ini turut memperkukuh martabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebagai medan perbahasan yang berwibawa.

"Keberangkatan tersebut sekali gus memastikan segala urusan dan perjalanan persidangan berlangsung dengan penuh tertib serta berlandaskan lunas Perlembagaan Negeri," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan Negeri bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas sempena Istiadat Pembukaan Penggal di Wisma Darul Iman.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kehadiran KDYMM dalam istiadat berkenaan membawa makna besar kepada perjalanan institusi demokrasi negeri, selain menyerlahkan hubungan erat antara Institusi Diraja dan sistem pentadbiran yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan rakyat.

Pada masa sama, Mohd Nor turut merafakkan doa ke hadrat Allah SWT agar KDYMM Sultan Terengganu, Duli Yang Maha Mulia Sultanah serta seluruh kerabat Diraja Terengganu sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan.

Beliau mendoakan agar baginda sekeluarga sentiasa dilimpahi rahmat dan inayah-Nya, serta terus bersemayam dengan penuh kedaulatan dalam memayungi negeri ini dengan hikmah demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Terengganu.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan