Anak Bukit Payong Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri

MARANG, 24 Januari- Dua anak kelahiran Bukit Payong, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dan Wan Amirul Shamnie Wan Rosli dinobat johan qari dan qariah pada pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Arena Merdeka, Dungun, malam tadi.

Wan Sofea Aini mempamerkan bacaan yang merdu dengan penghayatan mendalam, tajwid yang tepat, dan suara yang memukau sekali gus menjadikannya johan qariah pada pertandingan tersebut.

Sementara itu, Wan Amirul Shamnie turut mencuri tumpuan dengan bacaan yang penuh tertib, intonasi yang indah serta penguasaan yang cemerlang terhadap seni tarannum, melayakkannya bergelar johan qari.

Kedua-dua mereka akan membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan, bersaing dengan wakil negeri lain dalam mengagungkan seni bacaan Al-Quran.

Sebagai penghargaan, mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai, trofi, dan sijil penghargaan. 

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu dianjurkan bertujuan memperkasakan hubungan masyarakat dengan Al-Quran, di samping mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

Kemenangan dua wakil dari DUN Bukit Payong ini menjadi kebanggaan buat penduduk setempat.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendalami dan memuliakan Al-Quran.


Tag: