Anak Muda Terengganu Diseru Ceburi Bidang Pertanian 

Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU - Anak muda di Terengganu diseru agar menceburi bidang pertanian yang merupakan antara suatu cabang perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bidang pertanian mempunyai potensi yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan dan membaiki taraf kehidupan.

Katanya, Terengganu masih ada seluas sekitar 12,000 hektar tanah terbiar dan berpotensi untuk dimajukan untuk manfaat masyarakat setempat.

"Kita ada ramai anak muda yang tiada pekerjaan. Sihat dan bertenaga adalah keistimewaan yang dimiliki oleh majoriti anak muda.

“Ada pelbagai skim bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi dan jabatan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 1 Oktober.

Dr Azman berkata, kebanyakan rakyat Terengganu menikmati hasil tanaman dan produk asas tani yang dibawa masuk dari negeri lain dan situasi itu memberi gambaran jelas bahawa pasaran dan permintaan hasil pertanian sangat luas dan tinggi.

Oleh itu kata beliau, kemajuan setiap kawasan mestilah difahami secara nyata dengan kelebihan bentuk muka bumi dan geografi setempat yang bukannya diukur dengan sesetengah industri dan konteks perniagaan sahaja.

"Pihak kerajaan berhasrat agar anak muda melihat bidang pertanian adalah untuk semua golongan. Inilah ruang untuk anak muda membina ekonomi dengan menceburi bidang pertanian. Minda anak muda perlu berubah," ujarnya.

Justeru, beliau berharap tidak lagi mendengar 'cakap-cakap orang' bahawa  pertanian adalah bidang yang gagal.

Katanya, anak muda perlu mendapat maklumat yang tepat dan mampu membuka jalan (peluang) untuk menjana pendapatan.

"Biar mereka rasa mesra dengan pertanian yang membuka peluang membantu rakyat," tegasnya.

Tag: