• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Anak Syarikat Kerajaan Negeri Bantu 100 Keluarga Kota Putera

KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Anak syarikat berkaitan kerajaan negeri, TDM Berhad bersama Pertubuhan Kebajikan Komuniti Kota Putera (KOPU Care) telah berjaya menghulurkan bantuan kepada 100 keluarga Kota Putera di sini.

Pengarah Eksekutif TDM berkata, Najman Kamaruddin berkata program itu adalah sebahagian usaha murni TDM melalui aktiviti program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk mendekati serta menyantuni orang ramai. 

Katanya, mungkin nilai yang dihulurkan tidaklah seberapa namun bagi mereka yang memerlukan, nilai yang sedikit ini memberi makna yang besar kepada mereka.

"Terutamanya dalam situasi kehidupan yang mencabar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat hari demi hari. 

“Hasrat kami adalah untuk membantu seramai yang mampu kerana kami yakin dengan konsep yang sedikit, sama sedikit, yang banyak, sama banyak agar semua saling merasa rezeki yang ada," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika program TDM Bersama Masyarakat Kota Putera, Besut yang bertempat di Dewan Merdeka, Kota Putera Square di sini semalam.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Turut hadir, Pegawai MAIDAM Daerah (Zon Utara), Ahmad Imran Muhamad.

Tambah Najman, Kota Putera merupakan DUN pertama pemilihan TDM bagi pelaksaan program berkenaan yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah.

Menurutnya, ia bertujuan untuk mendekati masyarakat sekaligus memberi peluang kepada TDM selaku anak syarikat negeri untuk berbakti kepada komuniti dengan menjaga kebajikan masyarakat serta menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan kehidupan seharian mereka. 

“Perlaksanaan program ini bertepatan dengan status syarikat yang Patuh Syariah sekali gus mencerminkan model ‘corporate citizenship’.

“Ia bermaksud menjadi sebuah organisasi yang mementingkan tanggungjawab serta sentiasa memberikan nilai tambah kepada pihak berkepentingan termasuklah komuniti,” katanya.

Kita sedia maklum, Pantai Timur sekarang di landa musim tengkujuh dan ada di antara golongan asnaf yang terkesan kerana banjir. 

“Bantuan ini dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan serta membantu kelangsungan hidup penerima. 

“Pemilihan calon penerima yang layak telah dibantu urus oleh pihak KOPU Care dan 100 keluarga golongan asnaf yang memerlukan telah dipilih bagi menerima bantuan bernilai RM200 setiapnya,” jelasnya.

Semenatara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata pihaknya menerima baik usaha TDM melalui program bersama masyarakat di Besut ini.

“Pelbagai usaha dan inisiatif yang kami lakukan selama ini adalah untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab kami kepada masyarakat. 

“Saya berharap semoga inisiatif yang dilakukan pihak TDM ini dapat menjadi contoh kepada pihak-pihak lain termasuklah kita semua kerana berbakti kepada masyarakat serta cakna kepada mereka yang memerlukan adalah menjadi tanggungjawab bersama,” ujarnya.

 

 

 


Tag: