Anak Terengganu Hasil Karya Seni Luar Biasa

KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Seni penghasilan 'airbrush' oleh seorang pelukis di Kampung Raja Barang, Chendering di sini tarik perhatian orang ramai sehingga tular di media sosial.

Mohd Rozamil Mohd Yatin, 38, berkata hasil karya menconteng menggunakan 'airbrush' ini telah menerima tempahan dari seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei.

Katanya, dia aktif sebagai pelukis ‘air brush' sejak 2005 dengan melukis karyanya di vespa-vespa ketika itu.

“Karya melukis ini juga telah diberi pendedahan kepada dua orang anak saya kerana minat dan bakat mereka terhadap seni lukis ini dapat dilihat sejak kecil lagi.

“Mereka juga telah membantu saya di tempat kerja sepertimana yang tular di video Tiktok baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. 

Dia yang juga dikenali sebagai Zameer Pentbrush berkata, sebenarnya teknik lukisan ini telah lama popular di luar negara cuma di negara ini popularitinya agak perlahan.

Mohd Rozamil berkata, harga bagi 'borderline' bermula RM4,500 untuk lukisan kekal manakala RM 400 bagi lukisan sementara bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Tempoh lukisan bagi dakwat sementara tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan hanya sekitar satu hingga dua jam manakala lukisan bagi dakwat kekal memakan masa sehingga dua minggu untuk disiapkan," katanya.

Tambah Rozamil, kali pertama karyanya mula viral apabila penghasilan lukisan wira-wira negara pada helmet yang tular di media sosial sewaktu musim Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

"Harapan saya agar dengan karya seni yang dihasilkan terutamanya oleh anak tempatan ini dapat membuka mata orang ramai untuk bersikap positif dan terbuka terhadap kreativiti dan cabang seni yang ada di negara kita," ujarnya.

 


Tag: