HULU TERENGGANU, 7 April - Tradisi sambutan Hari Raya Enam atau lebih dikenali sebagai ‘Raya Nang’ dalam kalangan penduduk setempat, terus menjadi amalan masyarakat di beberapa kampung sekitar Terengganu, termasuk Kampung Durian Kassim.
Setiap kali tiba 8 Syawal, penduduk di kampung ini akan menziarahi tanah perkuburan dan mengadakan majlis tahlil beramai-ramai sebagai tanda penghormatan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga yang telah meninggal dunia.
seramai 300 penduduk termasuk anak-anak perantau yang pulang ke kampung, menyertai majlis ziarah dan tahlil di tanah perkuburan pada pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar berkata, meskipun ada dalam kalangan penduduk yang telah berhijrah ke bandar, sambutan tradisi ini tetap mendapat sambutan.
“Kita bersyukur kerana dapat menghidupkan semula amalan ini setiap tahun, walaupun sambutan secara sederhana, ia tetap bermakna kerana ramai anak kampung yang pulang untuk bersama-sama meraikan Raya Enam,” katanya.
Menurut Narasid, selepas selesai tahlil dan doa, penduduk turut menikmati juadah yang dibawa secara potluck seperti nasi dagang, ketupat dan pelbagai hidangan lain, selain bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan.
“Selain itu, kami turut mengagihkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebagai tanda keriangan sambutan,” tambahnya.
Bagi Mohamad Adalam Mat Adam, 52, tradisi ini adalah warisan turun-temurun yang perlu diteruskan oleh generasi muda agar ia tidak lenyap ditelan arus moden.
“Kami berharap anak-anak muda kampung akan terus menyemarakkan tradisi ini sampai bila-bila,” katanya.
Hari Raya Enam biasanya disambut pada 8 Syawal sebagai penutup amalan berpuasa sunat enam hari selepas Aidilfitri, dan di sesetengah kampung, ia diraikan secara berjemaah dengan penuh makna dan kebersamaan.