KUALA TERENGGANU, 28 Mac – Penghayatan al-Quran dalam kalangan penjawat awam perlu terus diperkukuh bagi melahirkan pentadbiran yang berintegriti dan berteraskan nilai Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, bahkan perlu difahami serta dijadikan panduan dalam setiap aspek kehidupan termasuk kerjaya dan profesionalisme.
“Menjadi pegawai kerajaan bukan sekadar memiliki kemahiran dan bakat, tetapi perlu disertai jiwa al-Quran yang menzahirkan sifat jujur, amanah dan berintegriti, sekali gus melengkapkan sesebuah pentadbiran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, penganjuran majlis khatam al-Quran merupakan manifestasi istiqamah dalam membaca ayat suci yang menuntut disiplin dan kesabaran tinggi.
“Begitu juga dalam setiap pekerjaan dan kerjaya yang diceburi, ia memerlukan komitmen serta kesungguhan yang berterusan.
“Jika hari ini kita telah mengkhatamkan bacaan al-Quran, jadikan ia sebagai titik permulaan untuk kita lebih mendalami makna dan intisari setiap ayat al-Quran,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa al-Quran merupakan kalam Ilahi dan mukjizat yang berkekalan hingga hari kiamat, yang menjadi panduan kehidupan merangkumi aspek individu, keluarga, organisasi, masyarakat serta pembinaan negeri dan negara.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta semua peserta yang berjaya mengkhatamkan al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

“Al-Quran wajar dijadikan teman harian kerana berperanan sebagai penawar jiwa dan sumber hiburan yang menenangkan dalam kesibukan menjalankan tugasan.
“Al-Quran menjadi panduan dalam membentuk diri sebagai hamba Allah yang taat, di samping melahirkan kakitangan yang ikhlas serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Wisma Darul Iman atas penganjuran program tersebut yang disifatkan sebagai satu usaha murni dalam menyemai budaya cintakan al-Quran.
Menurutnya, program seumpama itu wajar diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang agar manfaatnya dapat dirasai secara berterusan, tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan.
Selain itu, Rufaida Zulkifli merupakan penjawat awam berkata, penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup perlu diamalkan oleh semua umat Islam tanpa mengira latar belakang, bagi membentuk kehidupan yang lebih terarah dan berintegriti.
“Al-Quran merupakan panduan utama dalam kehidupan manusia dan menjadi benteng daripada kesesatan.
“Al-Quran ini adalah panduan hidup untuk semua manusia. Selagi kita berpegang teguh kepada ajarannya, insya-Allah kita tidak akan sesat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa amalan mendampingi al-Quran tidak seharusnya terhad kepada penjawat awam sahaja, sebaliknya perlu dilazimi oleh seluruh umat Islam dalam kehidupan seharian.
“Bukan penjawat awam sahaja yang perlu melazimi al-Quran, tetapi semua umat Islam perlu menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan,” tambah beliau.
Tag :