Berita :
Di Sebalik Dinding Hospital, Raya Tetap Bermakna
Di Sebalik Dinding Hospital, Raya Tetap Bermakna
Hafiz Rosli
1 jam yang lepas
86

KEMAMAN, 20 Mac – Walaupun terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital, sebuah keluarga dari Kampung Pondok Pasir tetap mencari makna raya dalam suasana yang penuh ujian.

Ismail Abdul Aziz, 47, telah menghidap pelbagai penyakit kronik sejak tahun 2014 termasuk kencing manis, darah tinggi dan masalah buah pinggang. Sejak itu, beliau perlu kerap ulang-alik ke hospital untuk rawatan.

Menurut isterinya, Noraini binti Ibrahim yang juga guru KAFA, keadaan suaminya semakin mencabar selepas tahun 2016 apabila kesihatan beliau semakin merosot.

“Walaupun raya kali ini mungkin disambut di hospital, kami tetap bersyukur kerana masih diberi peluang bersama sebagai sebuah keluarga.

“Raya tetap raya. Walau di mana pun, yang penting kita bersama dan saling menyokong,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Wakil Rakyat ke Hospital Kemaman semalam.

Program tersebut turut dihadiri wakil rakyat Chukai, Kijal, Air Putih dan Kemasik bagi menyantuni pesakit serta menyampaikan sumbangan.

Noraini turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang hadir menziarahi serta mendoakan kesejahteraan suaminya.

Pasangan ini mempunyai dua orang anak yang masih memerlukan perhatian. Noraini berkata, dia cuba kuat demi anak-anak dan suami walaupun berdepan dugaan yang berat.

“Terima kasih atas sumbangan dan doa buat kami sekeluarga, lebih-lebih lagi dalam keadaan kami sedang diuji sekarang.

“Insya-Allah kami akan terus kuat demi anak-anak. Apa pun yang berlaku, kami akan hadapi bersama dan tidak akan berputus asa,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan