KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma bagi penduduk setempat bertempat di perkarangan pejabatnya, semalam. 

Program yang berlangsung bermula jam 9 pagi dan tamat pada jam 12 tengah hari itu telah mencatatkan 80 penyertaan dalam kalangan warga DUN Batu Buruk di peringkat usia dewasa serta warga emas. 

“Antara yang menarik dalam program yang dianjurkan pada kali ini ialah ujian darah secara percuma khusus buat golongan B40 di bawah Skim Peka B40. 

“Selain itu, kaunter Tabung Haji juga di buka untuk urusan pendaftaran dan sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan agensi tersebut,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemui pemberita. 

Di samping itu, program ini juga menerima respon yang positif daripada orang ramai yang hadir. 

“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat atas penganjuran program yang baik ini kerana ia memudahkan orang kampung untuk membuat pemeriksaan kesihatan dengan lebih dekat malah percuma,” kata Zabedah Ali, 53.

Menurut Hanisah Nasuha Azib, 23, program tersebut berjalan dengan baik serta teratur dan berharap agar ia dapat diadakan lagi pada masa akan datang. 

Program yang  melibatkan seramai 7 orang doktor perubatan itu juga turut melibatkan kerjasama antara Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu Medical Team.