'Apa Perkembangan Terkini LPT3?' - Soal Ahli Parlimen Setiu

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, melahirkan kekecewaan terhadap kemajuan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT-3) yang sehingga kini belum menunjukkan perkembangan positif.

Dalam sesi Dewan Rakyat, beliau menyoal komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur di Pantai Timur yang didakwa sering terpinggir berbanding Pantai Barat.

“Daerah Setiu paling terkesan dengan ketiadaan lebuh raya, kesesakan sering berlaku terutama ketika musim perayaan tiba, melibatkan laluan utama dan laluan alternatif iaitu jalan pantai.

“Mengapa projek sebesar LPT-3 ini seolah-olah dibiarkan terbengkalai tanpa perkembangan terkini?,” soalnya. 

Menurut beliau, kerja awalan projek ini dimulakan sejak 2021, namun hampir tiga tahun telah berlalu tanpa sebarang kemajuan yang boleh dilihat, sekali gus menimbulkan keraguan tentang kesungguhan kerajaan dalam menyeimbangkan pembangunan antara Pantai Timur dan Barat.

Beliau juga mempersoalkan dasar kerajaan yang dilihat sering memfokuskan projek infrastruktur ke Pantai Barat. 

“Adakah kerajaan sedar bahawa rakyat di Pantai Timur juga layak menikmati infrastruktur yang sama seperti di Barat?,” tambahnya. 

Shaharizukirnain menegaskan bahawa pembangunan yang seimbang antara kedua-dua wilayah ini penting untuk membuka peluang ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat Pantai Timur.

“Kita tidak minta layanan istimewa, kita cuma mahu keadilan dalam pembangunan,” katanya lagi, menyeru agar kerajaan segera bertindak menyelesaikan projek LPT-3 yang dinanti-nantikan penduduk Pantai Timur.