Oleh : Muhammad Aqil Mat Ali
HULU TERENGGANU, 13 Januari – Malam penuh aksi di Stadium Mini Kuala Berang menyaksikan Armada Jak FC muncul juara Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 selepas menundukkan Padang Machang FC dalam perlawanan dramatik yang berakhir dengan jaringan 3-2.
Kemenangan itu bukan sahaja menobatkan Armada Jak FC sebagai juara, tetapi juga membuktikan keunggulan mereka di pentas bola sepak tempatan.
Pertarungan bermula dengan penuh intensiti, Armada Jak FC mencipta momentum awal apabila Muhammad Firas bin Mohd Tarmizi (jersi no. 9) meledak gol pembukaan pada minit ke-10, menghidupkan semangat pasukan serta penyokong mereka.
Namun, Padang Machang FC enggan menyerah mudah, mereka bangkit dengan dua gol menerusi jaringan mantap Shahir Nasrul bin Aziz (jersi no. 14) pada minit ke-35 dan ke-55, membuatkan perlawanan bertukar arah.
Walaupun ketinggalan, Armada Jak FC tetap tenang, mereka kembali memberi saingan dengan gol penyamaan hasil jaringan Mohammad Syamsul Arif bin Ibrahim (jersi no. 5) pada minit ke-75.
Saat perlawanan seakan menuju masa tambahan, Firas sekali lagi muncul sebagai wira dengan gol kemenangan pada minit ke-90+1, membawa sorakan gemuruh di stadium.
Sebagai penghormatan kepada persembahan hebat, penjaga gol Armada Jak FC, Mohd Fazrol Anuar bin Mohamed Hashim, dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik atas kehebatannya menjaga gawang sepanjang kejohanan.
Anugerah Pemain Terbaik pula jatuh kepada Mohd Asrol bin Ibrahim (jersi no. 5) dari Padang Machang FC, yang menunjukkan aksi luar biasa sepanjang pertandingan.
Sebagai juara, Armada Jak FC membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, sebuah piala kejuaraan, serta medal.
Tempat kedua, Padang Machang FC, menerima RM2,000 beserta medal, manakala Parit Che Ha (DPCH) FC dan Kg Baru Ajil FC yang berkongsi tempat ketiga, masing-masing menerima RM1,000 beserta medal.
Piala Parlimen Hulu Terengganu 2024 bukan sahaja tentang persaingan, tetapi juga simbol perpaduan masyarakat.
Kejohanan ini sekali lagi berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan komuniti tempatan, menjadikan bola sepak sebagai platform yang mengeratkan hubungan antara pasukan dan penyokong.
Tahniah Armada JAK FC atas kejuaraan penuh bergaya!