lightning-solid
Berita :
Aroma Kopi Gegarkan KTCC, 50,000 Dijangka Banjiri Terengganu Coffee Fair
Aroma Kopi Gegarkan KTCC, 50,000 Dijangka Banjiri Terengganu Coffee Fair
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
46

KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Aroma kopi yang semerbak, deretan vendor dan aksi barista berkemahiran tinggi bakal menghidupkan suasana KTCC Mall bermula semalam hingga 30 Ogos ini, apabila Terengganu Coffee Fair (TCF) 2026 kembali untuk edisi keempat dengan sasaran menarik kira-kira 50,000 pengunjung.

Lebih mencuri perhatian, TCF 2026 tampil lebih gah apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 30 vendor dari seluruh Malaysia termasuk Singapura, selain menampilkan barisan juara kopi Malaysia dan juara dunia untuk beraksi serta berkongsi kepakaran mereka bersama komuniti kopi di Terengganu.

Pengarah Program, Ahmad Haziq Badrol Hisham, berkata, kehadiran barisan juara berkenaan menjadi antara kelainan utama penganjuran tahun ini yang diyakini mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Kelainan pada tahun ini, kita berjaya menghimpunkan juara-juara Malaysia dan juga juara dunia untuk membuat penampilan di Terengganu Coffee Fair.

“Ini memberi peluang kepada pengunjung bukan sahaja menikmati kopi, tetapi melihat sendiri kepakaran dan teknik yang digunakan oleh mereka yang berada di peringkat tertinggi dalam industri kopi,” katanya.

Menurut beliau, sambutan terhadap TCF menunjukkan perkembangan positif sejak penganjuran edisi pertama, dengan jumlah pengunjung yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Katanya, sasaran sekitar 50,000 pengunjung tahun ini membuktikan budaya kopi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda yang melihat kopi bukan sekadar minuman, tetapi sebagai satu gaya hidup, minat dan peluang perniagaan.
“TCF juga menjadi ruang untuk mempertemukan penggemar kopi dengan pengusaha, barista, vendor dan pemain industri dari pelbagai negeri.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada pengunjung mengenali lebih dekat dunia kopi serta produk yang ditawarkan oleh penggiat industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan DaVinci Gourmet, sebuah syarikat antarabangsa yang menjadi antara penaja utama TCF 2026.

Kehadiran vendor dari luar Terengganu termasuk Singapura dijangka memberi suntikan tersendiri kepada acara itu, selain membuka peluang kepada pemain industri tempatan untuk memperluas jaringan dan meneroka potensi pasaran lebih besar.

Bagi pengunjung, TCF 2026 bukan sekadar medan mendapatkan secawan kopi kegemaran, sebaliknya menawarkan pengalaman untuk mengenali pelbagai karakter kopi, menyaksikan kemahiran barista bertaraf juara serta mendapatkan produk dan aksesori berkaitan dunia kopi.

Dengan gabungan vendor, barista, juara kopi dan peminat dari pelbagai negeri, TCF 2026 dijangka menjadi antara acara komuniti yang paling meriah di KTCC, selain berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada perniagaan dan sektor peruncitan setempat.

Tambah Haziq, budaya kopi di Terengganu bukan lagi sekadar trend, sebaliknya semakin berkembang sebagai satu ekosistem yang menghimpunkan komuniti, keusahawanan dan industri dalam satu pentas.



Tag :

Artikel Berkaitan