• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Awas Geng Plastik Hitam, Anda Diperhatikan

KUALA TERENGGANU, 24 Mac- 'Geng plastik hitam' yang tidak berpuasa kini dalam 'radar' Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sepanjang Ramadan ini.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, rondaan berkala oleh anggota penguat kuasa akan terus diperhebatkan dari masa ke masa untuk memastikan tiada pelanggaran dilakukan oleh umat Islam.

"Hasil pemantauan yang dilakukan tahun-tahun sebelum ini, golongan yang tidak berpuasa itu akan membeli makanan dari kedai-kedai atau warung yang menjual makanan pada waktu tengahari.

"Antara alasan yang sering diberikan oleh 'geng plastik hitam' adalah membeli makanan untuk anak kecil dan isteri yang uzur, penat kerana bekerja berat dan sedang sakit  pada Ramadan tahun lepas," katanya ketika dihubungi pemberita.

Justeru itu katanya, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT dan Unit Penguatkuasaan Syariah daerah akan menggandakan rondaan dan pemantauan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti menjadi tempat melepak untuk geng plastik hitam ini.

"Kebanyakan mereka memilih untuk makan di tempat yang sunyi dan tersorok dari orang ramai bagi mengelakkan perbuatan itu terbongkar.

"Antara lokasi panas pilihan geng plastik hitam seperti di tempat perkelahan, kawasan perindustrian, tapak pembinaan dan tempat rekreasi yang terpencil," katanya.

Individu yang ditangkap kerana makan dan minum termasuk merokok secara terbuka di tempat awam pada bulan Ramadan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 19 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir 2001.

Tambah Khairul, pihaknya
akan memantau penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa terutama di kawasan terbuka.

"Umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam masa yang sama, pemantauan juga akan dibuat sekiranya geng plastik hitam menggunakan aplikasi media sosial untuk membuat tempahan makanan.

"Mungkin mereka beranggapan cara itu lebih selamat dengan menggunakan anak kecil dan wanita yang uzur sebagai alasan munasabah," ujarnya.

Menurutnya lagi, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT  komited menjalankan pemantauan berterusan dan menyiasat aduan berkaitan sekiranya ada  bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara.