Awasi Anak-Anak Semasa Musim Banjir - MB

KUALA TERENGGANU, 28 November - Penduduk yang tinggal di kawasan banjir dinasihatkan supaya mengawasi anak-anak mereka daripada bermain air banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jangan sesekali mendekati kawasan yang teruk dilanda bencana alam itu.

"Paling penting, jaga anak masing-masing supaya tidak berkeliaran dan sentiasa berada di rumah. 

"Apabila sampai waktu untuk berpindah, segera berpindah kerana yang paling utama ketika ini ialah menjaga keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak pandang remeh terhadap penyakit bawaan air ketika banjir.

"Sekiranya mana-mana penduduk yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara atau yang kekal berada di rumah, jika mengalami gejala kesihatan yang berkaitan dengan banjir segeralah berhubung dengan pihak kesihatan," katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Negeri Terengganu samada yang tinggal berhampiran sungai, pantai atau mana-mana kawasan yang berisiko untuk berdepan dengan banjir supaya menjaga keselamatan masing-masing. 

"Sama-sama kita berdoa supaya kita semua dapat mengharungi ujian Monsun Timur Laut ini dengan baik dan semoga kita dalam pelihara Allah S.W.T," ujarnya.