Azizulhasni, Fatehah Dominasi Anugerah AST

Ahmad Razif meletakkan plak sebagai gimik merasmikan Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu . Foto Harish Fadzillah Abu Kassim 


Raja dan ratu berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa sekali lagi dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati pada Anugerah Sukan Negeri Terengganu (AST) 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Azizulhasni memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali pada musim 2007/2008, 2009/2010 dan 2015/2016, manakala Fatehah pula memenanginya tiga tahun  berturut-turut  pada 2007/2008,2009/2010 dan 2013/2014.


Kejayaan Azizulhasni menjuarai acara keirin di World Track Cycling Championship di Hong Kong tahun lalu dan menghadiahkan dua emas pada temasya Sukan SEA menjadi faktor utama kepada pemilihan beliau sebagai olahragawan Terengganu.

Dengan kemenangan itu masing-masing membawa hadiah wang tunai RM7,000, piala pusingan, piala iringan,  sijil kepujian serta wang tunai RM2,000 kepada persatuan yang diwakilinya.

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman kepada ibu Azizulhasni Selamiah Yong,54, dan Puan Esah Isa, 58 (ibu Fatehah) kerana dua atlet itu masih berada di Gold Cost bagi menyertai kejohanan Sukan Komanwel.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Sementara itu,  Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail pula dinobat sebagai tokoh Sukan Negeri Terengganu dengan membawa pulang piala iringan, sijil kepujian, barangan sukan serta wang tunai RM1,000.

Bagi kategori olahragawan harapan pula dimenangi Syed Akma Fikri Syed Ali melalui sukan petanque manakala olahragawati harapan dimenangi Nur Iman Aina Ahmad Sabti juga melalui sukan petanque di mana kedua-duanya membawa pulang piala pusingan, piala iringan, sijil kepujian, wang tunai RM2,500 serta RM1,000 kepada persatuan yang diwakilinya.

Sementara itu, Zuhairie Ahmad Tarmizi atlet berbasikal paralimpik yang menggondol empat emas pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 pula dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Terengganu 2017.

Manakala, olahragawati paralimpik pula disandang oleh atlet berbasikan paralimpik wanita iaitu Nur Shahida Tajudin yang memenangi satu perak dan satu gangsa pada temasya sukan yang sama tahun lalu. sukan serta wang tunai RM1,000.



Tag: