Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Alias |
Kerajaan negeri menggalakkan lebih banyak syarikat dan badan korporat untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing bagi membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik di seluruh Terengganu.
Ahli Parlimen Kemaman, Alias Abdul Hamid berkata, semua badan korporat di Terengganu wajar mencontohi usaha syarikat minyak negara seperti Petronas yang banyak melakukan aktiviti kemasyarakatan dan menghulurkan bantuan melalui pelbagai program yang dirancang bersama komuniti.
Katanya, inisiatif melalui program `Sentuhan Kasih Petronas' menjadi antara platform terbaik bagi menyatupadukan dan membina kesejahteraan di kalangan rakyat.
"Kita lihat pada program ini ramai golongan yang kurang bernasib baik telah dibantu oleh pihak Petronas dan mereka sendiri telah menyumbang tenaga dengan turun bersama-sama membantu kumpulan sasar berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Petronas di Kelab Golf dan Rekreasi Rantau Petronas, Kertih, Kemaman, kelmarin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasek, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan Abdullah.
Alias berkata, program seumpama itu perlu dilaksanakan setiap tahun, selain mengalu-alukan badan korporat yang lain untuk bergabung tenaga bagi merapatkan lagi ukhwah di antara syarikat dan penduduk setempat.
"Kecaknaan yang dilakukan oleh pihak Petronas amatlah disanjungi dan rakyat setempat merasai nikmat dari hasil pembangunan industri minyak yang dijalankan di bumi Terengganu ini dan ianya satu usaha yang murni," katanya.
Alias (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir. |
"Sekurang-kurangnya masyarakat setempat di daerah ini dapat merasa sendiri nikmat hasil daripada pembangunan yang telah dilakukan di sini dan pihak Petronas selepas ini perlu mengadakan kerjasama dengan pemimpin kampung untuk mendapatkan lebih maklumat mengenai golongan yang perlu dibantu,"katanya.
Malah, bermula Mei hingga April 2019, Petronas turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan program `Sentuhan Kasih Petronas' sebagai tanda komitmen mereka sebagai sebuah syarikat minyak nasional yang sentiasa membantu golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini.