Bajet 2018 : Kerajaan Sumbang RM500,000 Tabung Aman Palestin

Barisan kepimpinan kerajaan negeri turut serta menyumbang bagi Tabung Aman Palestin selepas selesai perasmian tabung tersebut di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Kerajaan negeri meluluskan sumbangan sebanyak RM500,000 untuk Tabung Aman Palestin Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sumbangan oleh kerajaan negeri tersebut adalah untuk membantu rakyat Palestin yang sedang ditimpa musibah.

Katanya, kutipan tersebut akan dilakukan di seluruh negeri Terengganu bagi membantu sehabis daya untuk memastikan hak rakyat Palestin dapat dikembalikan.

"Sebagai permulaan kita bersetuju untuk membantu apa yang telah terjadi kepada saudara kita di Palestin hari ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi RM500,000 terutama untuk membantu membina semula hospital yang telah remuk di bom.

"Kita akan minta semua GLC, badan berkanun, jabatan-jabatan dan sebagainya untuk mulakan pungutan mendapatkan derma daripada seluruh rakyat negeri Terengganu tidak kira Islam atau bukan kerana ini adalah soal hormat menghormati," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Tabung Aman Palestin Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

Tambahnya, kutipan yang mula dilancarkan hari ini akan diteruskan tanpa had masa.

"Apa yang kita dapat akan diserahkan segera kerana secara tidak langsung ia boleh membantu paling tidak hari ini untuk membangun semula bandar di Palestin.

"Selain itu, yang pasti hari ini adalah untuk membantu terutama saudara-saudara (sesama Islam) yang cedera, yang perlu dibela ataupun dibantu," katanya.

Tag: