![]() |
Ghazali ketika berucap dalam sesi pergulungan Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail. |
Masyarakat Islam di Terengganu diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk turut memainkan peranan bagi mencegah jenayah yang melibatkan undang-undang takzir.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata kerajaan negeri telah membangunkan aplikasi khas untuk rakyat Terengganu membuat aduan tentang sebarang salah laku terutamanya bagi mencegah maksiat yang berlaku di negeri ini.
Katanya, aplikasi yang dikenali sebagai e-Maksiat dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) boleh didapati secara percuma melalui 'Google Play' bagi telefon mudah alih dengan menggunakan sistem android.
"Melalui aplikasi tersebut, orang ramai hanya perlu menyatakan lokasi kejadian dan pihak penguatkuasa berdekatan akan ambil tindakan seterusnya.
"Namun demikian, kita masih dalam tempoh percubaan, jadi jangan mengharapkan satu pencapaian yang tinggi. Sekurang-kurangnya kita mencuba. Bagi saya mencuba itu penting daripada tidak membuat apa-apa langsung," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Terdahulu, Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura) menyuarakan mengenai masalah perlakuan sumbang di kawasan-kawasan taman permainan dan mahu perkara itu ditegah oleh pihak berkuasa.