Bajet 2019 : Veterinar Diarah Buat Pemutihan Padang Ragut
KUALA TERENGGANU, 27 November- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu diarahkan melakukan pemutihan keperluan padang ragut dan manfaatnya untuk kegunaan haiwan ternakan di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengenal pasti banyak padang ragut di negeri ini mengikut pewartaan tanah yang ada dan tidak digunakan sepenuhnya.
“Sebab itu kita minta pihak Veterinar membuat pemutihan semula secara besar-besaran bersesuaian dengan jumlah ternakan yang ada kerana berdasarkan tinjauan mendapati ada rezab yang disalah gunakan.
"Contohnya di Setiu, kita ada 17 padang ragut yang mana tidak digunakan semaksimanya dan disalah gunakan untuk tujuan lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menurut Dr Azman, pada awalnya petani memohon pajakan tanah untuk integrasi perladangan dan penternakan, namun sebaik diluluskan, mereka tidak melaksanakan sebarang aktiviti sepatutnya.
"Bukan sahaja lembu, najis lembu pun tiada. Mereka mohon pajakan tanah hendak buat padang ragut tetapi setelah dapat, mereka tanam sawit.
"Pihak kami juga dapati ada rezab padang ragut yang keluasan 60 hektar tapi cuma guna empat hektar dan ada juga yang 100 hektar tapi guna untuk padang ragut sebanyak sepuluh hektar serta banyak lagi penyalahgunaan,"kata beliau lagi.