KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Hampir RM10,000 diperuntukkan bagi sumbangan baju raya kepada anak-anak PASTI dan duit raya kepada para guru PASTI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, berkata seramai 34 pelajar menerima sumbangan pakaian raya bernilai RM100 setiap seorang.
Manakala guru menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM5,800.
“Alhamdulillah, hari ini kita dapat melihat senyuman di wajah anak-anak kita dan semoga mereka terus membesar dengan sihat, menjadi anak soleh serta berjaya di masa hadapan.
“Terima kasih juga kepada seluruh tenaga pengajar atas usaha murni ini,” jelasnya ketika dihubungi.

Beliau turut menekankan bahawa sumbangan tersebut bukan sekadar bantuan material, tetapi juga dorongan moral dan simbolik kepada anak-anak agar mereka berasa dihargai serta disayangi.
Program berkenaan turut mengajak komuniti untuk bersama-sama memberi perhatian kepada golongan memerlukan, selaras dengan tanggungjawab wakil rakyat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
“Insya-Allah, usaha kecil ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri mereka dan meninggalkan kenangan manis yang akan mereka ingati sepanjang hayat.
“Terus berkhidmat demi kebajikan rakyat Besut,” tambah beliau.
Tag :