Banjir: Bomba Terengganu Siap Sedia Hadapi Gelombang Kedua

KUALA TERENGGANU, 4 Disember -  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersiap siaga menghadapi risiko gelombang kedua banjir yang mungkin melanda negeri ini, dengan segala aset diperlukan dengan kekuatan kira-kira 900 orang termasuk pegawai dan anggota.

Pengarahnya, Nor Mahathir Muhammad berkata segala keperluan termasuk logistik dan sumber manusia telah disusun bagi memastikan kelancaran operasi pemindahan, menyelamat dan penghantaran bantuan.

"Banjir gelombang kedua Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula 8 hingga 12 Dis ini. Terengganu dijangka menerima beberapa siri hujan lebat dalam tempoh itu.

"Dari segi persiapan kita mempunyai 624 anggota tetap dan dibantu lebih 200 bomba sukarela. Kekuatan aset kita telah tingkatkan yang mana kita dapat bantuan dari pengkalan hadapan Wakaf Tapai," katanya selepas menghadiri Majlis Perbarisan Kehormat Pengarah JBPM Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Berdasarkan analisis model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula petang hari Selasa sehingga awal pagi Rabu.

METMalaysia semalam menjangkakan luruan monsun berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan peka dengan perubahan cuaca serta peningkatan air di kawasan masing-masing.
 


Tag: