MBKT Cadang Wujudkan Lampu Isyarat Pintar Atasi Kesesakan Lalu Lintas
HULU TERENGGANU, 29 Disember – Banjir yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong sejak petang tadi telah menyebabkan 29 keluarga yang melibatkan 116 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Hujan lebat berterusan sejak semalam juga telah mengakibatkan limpahan air di beberapa sungai utama, sekaligus menenggelamkan kawasan rendah di tiga mukim yang terjejas iaitu Hulu Telemong, Jenagor, dan Tersat.
Beberapa laluan utama turut ditutup akibat paras air yang naik mendadak, termasuk Jalan Kampung Basung, Kuala Ping, Felcra Bukit Kapah, Bukit Gemuruh, dan Kuala Menjing.
Penutupan jalan ini menyebabkan pergerakan penduduk terjejas teruk, terutamanya untuk mendapatkan bekalan asas dan bantuan kecemasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail, telah turun padang meninjau keadaan banjir di kawasan yang terjejas.
Dalam lawatannya, beliau menyatakan komitmen untuk memastikan semua mangsa banjir mendapat bantuan yang diperlukan secepat mungkin.
“Kami sedang bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan pihak bomba untuk memastikan kebajikan mangsa banjir dijaga.
"Laluan yang terputus juga sedang dipantau untuk tindakan lanjut,” kata beliau ketika ditemui di PPS.
Setakat ini, keadaan cuaca masih tidak menentu, dan penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Mereka juga diingatkan untuk segera berpindah ke PPS sekiranya keadaan semakin buruk.
Pihak berkuasa tempatan terus memantau paras air di kawasan berisiko, dan maklumat terkini mengenai banjir akan disalurkan dari semasa ke semasa.