Banjir: Ibu Tangguh Rawatan Demi Keselamatan Anak-Anak

HULU TERENGGANU, 24 Disember- Demi keselamatan anak-anak, seorang ibu yang sedang menjalani rawatan di hospital sanggup keluar lebih awal dari wad untuk membawa anak-anak ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kampungnya dilanda banjir.

Wan Nor Zaimah Wan Muhamad, 46, yang menderita kanser payudara dan buah pinggang berkata dia lebih memikirkan keadaan tiga anaknya yang masih kecil termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun yang tiada penjaga selepas air memasuki rumah mereka di Kampung Pengkalan Ajal, semalam.

"Kalau ikutkan saya terpaksa ditahan di wad sejak Jumaat untuk rawatan buah pinggang tapi saya minta keluar wad untuk pindahkan anak-anak ke PPS. Mujurlah pihak hospital benarkan dan bekalkan saya ubat sepanjang tempoh rawatan. 

"Saya rasa susah juga sebab tumpuan penuh kepada kesihatan diri tak dapat diberikan anak pun perlukan penjagaan rapi juga," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Kampung Pengkalan Ajal, di sini, hari ini.

Ibu kepada enam cahaya mata itu, berpindah bersama empat lagi anaknya iaitu Fitri Norliyana, 18; Nor Nadia Syahira, 9; Nor Al-Annur Aina, 6 dan Nor Al-Annur Aisyah, 5 ke PPS .

Manakala anak sulungnya, Kamarudin, 22, dan Muhammad Arif, 16, tinggal di PPS berasingan di masjid bagi menempatkan mangsa banjir lelaki kampung berkenaan.  

Tiga anak Wan Nurzaimah iaitu Kamaruddin merupakan OKU pelbagai termasuk penglihatan dengan pergerakan yang terbatas, Fitri Nurliyana (OKU intelektual dan penghidap Noonan Syndrom) dan Muhammad Ariff, 16, (OKU intelektual).

Wan Nor Zaimah yang berasal dari Kampung Bukit Ara, Ajil di sini menyewa rumah dan membuka kedai makan di Kampung Pengkalan Ajal, namun banjir kali ini turut menjejaskan perniagaannya. 

Katanya, setiap kali banjir, kedai yang diusahakan bersama suami turut dinaiki air sehingga mereka terpaksa menutupnya untuk beberapa hari.

"Dah la saya sakit lepas tu banjir pula, tak tahu nak buat apa lagi namun redha atas ketentuanNya," ujarnya.


 


Tag: