KUALA TERENGGANU, 26 November - Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menasihatkan semua mangsa yang menghadapi situasi banjir supaya sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri.
"Saya rasa yang pertama, seluruh rakyat Negeri Terengganu perlu sentiasa berhati-hati dan juga mengambil peduli dengan apa-apa pemakluman yang bakal diberikan oleh pihak berkuasa, kerajaan, pihak polis dan sebagainya yang insya-Allah akan sentiasa mengeluarkan kenyataan ataupun hebahan terkini sama ada melalui radio, televisyen atau pun media-media sosial tentang keadaan terkini di sesuatu tempat.
"Sekiranya tempat yang kita duduki itu adalah tempat yang biasa mengalami banjir maka kita kena bersiap sedia daripada awal.
"Pastikan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang tertentu, bekalan ubat-ubat sentiasa dalam dalam simpanan supaya tidak timbul isu tak cukup ubat atau terputus bekalan," pesannya.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf mempelam itu lagi, kesiapsiagaan untuk kesihatan diri akan membantu sekiranya individu terbabit tepaksa berpindah ke PPS sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) berlangsung.
Setakat tengahari ini, seramai 1,475 penduduk melibatkan enam daerah telah dipindahkan ke 25 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan kediaman mereka dinaiki air.