Kerjasama EPIC, Brunei Hasilkan Pendapatan Tambahan Terengganu
HULU TERENGGANU, 27 Disember - Berbekalkan modal RM90, seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan plastik kanvas sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan harta benda setiap kali banjir melanda kediamannya
Berkongsi kisah, Moh Norddin Ahmad, 60, berkata idea itu timbul daripada anak-anaknya ketika banjir besar yang melanda pada awal Februari 2022 yang mana dia tidak sempat mengalihkan kereta persona dan motosikal miliknya ke tempat lebih tinggi.
"Masa itu tak sedar air mula naik, jadi saya mengguna plastik kanvas untuk membungkus kereta dan motosikal... hasilnya kenderaan selamat malah dapat dihidupkan tanpa sebarang kerosakan.
"Untuk banjir kali ini saya membeli satu lagi kanvas besar bersaiz 6 x 6 meter untuk memuatkan sofa, serta barang letrik dan membungkusnya sekaligus supaya rosak jika air mula memasuki rumah,"katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tok Bat di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, dia turut dibantu oleh empat orang anak dan seorang adik sepanjang membungkus peralatan tersebut.
"Alhamdulillah, setakat ketinggian air satu meter dalam rumah, barangan masih selamat...jika tinggi lagi, terpaksa redhalah," katanya.
Moh Norddin yang menetap di kampung itu hampir 18 tahun juga berkata sepanjang tempoh tersebut, dia berdepan dua kali banjir besar termasuk gelombang ketiga kali ini.
"Paling tak dapat dilupakan, banjir awal Februari 2022, air masuk dalam rumah hampir satu meter.
"Jika banjir biasa, air hanya perkarangan rumah sebab kediaman saya saya terletak di kawasan agak tinggi,"ujarnya.