Banjir Pulih, Sebahagian Penduduk Mukim Tersat Pulang Ke Rumah

HULU TERENGGANU, 30 Disember – Keadaan banjir di Mukim Tersat menunjukkan sedikit perubahan apabila sebahagian penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Namun, jalan ke Kampung Kemat masih ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat limpahan air yang belum surut sepenuhnya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, beberapa penduduk di Kampung Kemat masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Kemat kerana rumah mereka masih terjejas.

Usaha sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan mereka dan membantu mereka kembali ke rumah sebaik keadaan pulih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata, kerajaan negeri akan terus memberi komitmen untuk  membantu penduduk yang terkesan.

"Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berkaitan akan terus memantau situasi banjir dan memberi perhatian terhadap keperluan mangsa dengan memastikan segala bantuan disalurkan segera.

“Kami akan memastikan semua mangsa mendapat bantuan sewajarnya, dan usaha pemulihan kawasan akan dilaksanakan segera sebaik keadaan mengizinkan,” katanya ketika meninjau keadaan mangsa banjir di PPS balairaya Kampung Kemat.

Dalam masa sama, penduduk diminta untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Mereka yang masih berada di PPS dinasihatkan agar bersabar sementara menunggu situasi kembali normal.


Tag: